Kota Bharu: Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika membonceng motosikal bersama ibu dan dua adik-beradiknya di Cabang Tiga Pengkalan Nangka, Kampung Landak, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa membonceng motosikal yang ditunggang ibunya berusia 31 tahun bersama adik dan kakak masing-masing berumur tiga serta 11 tahun untuk ke gerai satay milik bapa mereka di Kampung Baung, Jalan Tok Guru, Pengkalan Chepa, di sini.
Katanya, ibu mangsa memberhentikan motosikal di simpang tiga sebelum meneruskan perjalanan ke jalan utama dan secara tiba-tiba dilanggar sebuah kereta Peugeot dipandu wanita berusia 34 tahun yang juga seorang kakitangan hospital.
“Akibat pelanggaran berkenaan, mangsa bersama ibu dan adik-beradiknya terseret sejauh 10 meter dan tercampak ke dalam parit di laluan bertentangan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini.
“Manakala, ibu, adik dan kakaknya mengalami kecederaan parah pada kaki dan tangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Rosdi berkata, pemandu kenderaan dalam perjalanan dari Jalan Tok Guru menghala ke Kampung Chekok dan tidak sempat mengelak motosikal akibat jarak terlalu dekat kerana kenderaan itu muncul secara tiba-tiba.
“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik HRPZ II bagi bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika di jalan raya serta memandu dengan cermat bagi mengelak insiden yang tidak diingini terutama yang boleh meragut nyawa,” katanya.