Empat lelaki ditahan edar ‘Pil Kuda’ di Kota Bharu dan Tumpat

Kota Bharu: Pil yaba ataupun dikenali sebagai pil kuda menjadi dadah paling popular di Kelantan berikutan mendapat permintaan tinggi.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ia susulan dadah terbabit sedang digunakan selain mudah dibawa.

“Di Kelantan, pil yaba adalah paling popular berbanding dadah jenis heroin. Selain dari segi mudah dibawa, harga yang murah juga menyumbang kepada faktor permintaan tinggi.

“Sebiji pil yaba berharga RM10 sahaja. Namun jika permintaan tinggi dan bekalan sukar diperoleh susulan kawalan ketat, harga akan meningkat sehingga mencecah RM20 sebiji.

“Kita akan meningkatkan operasi bagi membuat tangkapan terhadap tokan dadah terbabit dalam usaha membanteras jenayah dadah di negeri ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada sidang media berkenaan, Muhamad Zaki turut memaklumkan, pihaknya menahan empat lelaki yang juga pengedar dadah menerusi tiga serbuan berasingan di Kota Bharu dan Tumpat semalam.

Katanya, hasil serbuan jam 1 pagi hingga 12 tengah hari itu membawa kepada 1,098 biji pil kuda, 3 gram heroin dan empat biji Epam yang keseluruhannya bernilai RM11,550.

“Pemeriksaan mendapati, tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka berusia antara 26 hingga 48 tahun itu ditahan reman sehingga Khamis ini.

“Sekiranya dadah ini terlepas, ia boleh digunakan seramai 580 orang penagih dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

SUMBER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *