KOTA BHARU: Masalah bekalan air bersih yang ‘menghantui’ rakyat Kelantan sejak tiga dekad lalu dijangka selesai dengan pembinaan kolam takungan yang telah mendapat kelulusan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pembinaan kolam takungan terletak di Machang itu kini sudah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Menurutnya, langkah penyelesaian masalah bekalan air menerusi pembinaan kolam takungan itu telah dibincangkan sejak dua tahun lalu namun pada waktu itu, tiada sebarang persetujuan berjaya dicapai dengan pihak kementerian.
“Tetapi hasil pertemuan dan perbincangan yang dibuat baru-baru ini, secara dasarnya KASA bersetuju untuk membina kolam takungan tersebut.
“Untuk makluman, projek ini dipanjangkan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Kelantan dan kita akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mohd. Amar menambah, sebelum ini kerajaan negeri sudah mengemukakan cadangan itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih namun kebanyakannya tidak dapat diteruskan kerana peruntukan tidak ‘turun-turun’.
“Menerusi projek migrasi air pada 2016, kita sepatutnya terima peruntukan berjumlah RM2 bilion sebab mereka (Kerajaan Persekutuan) beri syarat kalau nak dapat duit peruntukan kena setuju untuk migrasi.
“Memang pada peringkat awal, ketika era Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) kita tidak setuju untuk migrasi. Hanya selepas beberapa perbincangan, barulah kita memberi pandangan bawah tiada negeri di Malaysia mampu selesaikan masalah air secara bersendirian,” jelasnya.
Kata beliau, jika tiada halangan, projek pembinaan kolam takungan akan dimulakan pada tahun ini dengan pelan pembinaan projek tersebut telah disiapkan.
“Melalui projek ini, kita akan bina sebuah kolam takungan yang besar. Apabila semua air tersebut dikumpulkan, secara tidak langsung kita mampu menyelesaikan secara keseluruhan masalah bekalan air bersih di seluruh Kelantan,” katanya. –