Baru-baru ini kita menyambut Hari Bumi, satu hari yang bertujuan untuk memberi peringatan kepada seluruh umat manusia tentang kepentingan menjaga alam. Kita selalu dengar yang alam adalah sesuatu yang kita ‘pinjam’ daripada generasi akan datang. Malangnya, kita boleh melihat bagaimana kerosakan alam sekitar berlaku akibat kerakusan manusia untuk menjarah alam demi wang.
Kalau kita bercakap soal kerosakan alam sekitar di Malaysia, pastinya kita tidak akan lari daripada bercakap persoalan pembalakan yang dikatakan berlaku di Kelantan. Masalah pembalakan di Kelantan adalah isu besar, dan setiap kali pilihan raya datang – kita akan mendengar isu ini akan dimainkan.
Kali ini kami akan menulis serba sedikit berkenaan isu pembalakan yang sudah pastinya menghantui rakyat Kelantan. Pada akhir artikel ini nanti, bolehlah anda buat kesimpulan sendiri – dan paling penting mencari lebih banyak bahan-bahan berkaitan isu pembalakan di Kelantan.
Pembalakan yang teruk ini turut berlaku ketika pandemik
Menariknya, isu pembalakan haram di Kelantan ini turut berlaku ketika dunia ditimpa pandemik. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan untuk membendung pandemik nampaknya tak menghalang pembalak haram untuk menceroboh kawasan hutan simpan kekal (HSK) di Kelantan.
Ketika itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah mengatakan sepanjang tempoh PKP, pihaknya mengesan sebanyak 23 kes pencerobohan HSK terutamanya di Gua Musang, Kuala Krai dan Machang.
Tambahnya, HSK di Ulu Sat, Machang seluas 14,710 hektar adalah kawasan yang kerap diceroboh pembalak haram kerana dikatakan mempunyai lebih 1,000 spesies kayu bermutu tinggi seperti Balau, Balau Merah, Chengal dan Merbau yang boleh mencapai harga RM1,500 satu meter padu.
“Pencerobohan yang dilakukan bagi mendapatkan kayu bermutu tinggi, dilakukan sebilangan pembalak secara kecil-kecilan dan biasanya kumpulan ini didalangi penduduk tempatan dan warga asing yang mempunyai kemahiran membelah kayu. Walaupun PKP didapati tidak menakutkan penceroboh tersebut, namun dengan tindakan pantas penguat kuasa sejak Mac, seramai 13 individu termasuk sembilan warga asing dari Thailand dan Myanmar berjaya ditahan,” menurut Abdul Khalim
Pembalakan pernah menjadi punca utama banjir di Kelantan
Bagi mereka yang menetap di Kelantan, sudah tentu mereka masih ingat akan kejadian banjir besar yang berlaku pada penghujung tahun 2014. Ketika banjir ini berlaku, kerugian besar telah menimpa mereka yang menetap di Kelantan.
Salah seorang ahli Parlimen ketika itu, Datuk Seri Shahidan Kassim mengatakan kegiatan pembalakan haram yang tak terkawal di Kelantan merupakan faktor utama banjir besar berlaku di Kelantan. Katanya penanaman semula pokok perlu dilakukan bagi mengelak negeri itu dilanda banjir besar sekali lagi.
“Sekarang ini tebatan banjir tidak boleh selesaikan masalah, kita kena tanam semula pokok yang telah dimusnahkan di hutan yang telah diteroka. Di Kelantan, cara mereka tebang pokok macam negeri tak ada undang-undang, jabatan yang patut jaga hutan tidak mengambil tindakan yang sepatutnya,” – Shahidan ketika mengulas isu banjir Kelantan
Bagi Anggota Parlimen Gua Musang pula, Tengku Razaleigh Hamzah tak menolak pembukaan tanah pertanian dan aktiviti pembalakan tak terkawal antara punca kejadian banjir besar melanda Kelantan pada akhir Disember 2014.
Katanya, kesan daripada kegiatan itu menjadi penyebab beberapa sungai utama khususnya Sungai Belatop di Lojing menjadi cetek dan mudah melimpahi tebing apabila hujan lebat pada musim tengkujuh.
“Saya tidak menolak kemungkinan banjir besar baru-baru ini berpunca daripada kegiatan berkenaan dan penduduk di kawasan rendah yang mudah dinaiki air di Hulu Kelantan perlu bersiap sedia menjelang musim tengkujuh akan datang,” – Kuli
Pada tahun 2020, Kerajaan Kelantan jelaskan pembalakan mahupun penerokaan hutan bukan menjadi punca utama berlakunya banjir. Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebaliknya banjir yang melanda Kelantan disebabkan taburan hujan lebat berikutan monsun timur laut.
Pada awal tahun ini, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) mendakwa aktiviti pembalakan di negeri ini tak akan jejaskan populasi harimau. Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah kata, proses itu sebaliknya baik untuk pertambahan populasi berpandukan kepada kajian yang dibuat oleh seorang pakar dari Sarawak.
Menurutnya, bila ada pembalakan banyak tumbuhan baharu akan tumbuh yang menarik haiwan seperti kancil untuk datang ke kawasan tersebut.
“Kedatangan haiwan seperti kancil itu akan menjadi sumber makanan buat harimau. Situasi itu juga akan memudahkan harimau mendapatkan sumber makanan berbanding kawasan hutan tebal,” katanya.
Kelantan hanya akan berubah sekiranya pengundi memilih dengan lebih bijak
Secara jujur kami tak melihat ada perubahan besar yang berlaku dengan isu pembalakan ni. Kami turut melihat begitu banyak entiti telah cuba untuk memperjuangkan isu pembalakan ini – selain daripada akan merosakkan flora dan fauna, ada isu yang menyaksikan ada kumpulan Orang Asli yang terkesan akibat isu pembalakan ini.
Perubahan tidak akan berlaku andainya rakyat Kelantan sendiri tidak mula mengkaji dan mempersoalkan apa yang berlaku di sana.
Salah satu kaedah yang boleh digunakan untuk membawa perubahan ini adalah melalui pilihan raya. Kami tak minta korang untuk pilih mana-mana parti tertentu, apa yang penting adalah korang lakukan kajian sebelum keluar mengundi. Sebabnya, cuma itu kaedah paling logik kami boleh fikir untuk membawa perubahan terhadap situasi ini.