Misteri sebuah kampung terbenam di bawah gunung di Kelantan

Di pinggir jalan masuk ke Kampung Batu Melintang, Jeli, Kelantan, tersergam sebuah batu besar berbentuk tirus ke bawah yang dinamakan Gunung Reng. Ia kukuh tercacak di atas tanah bersama misteri masyarakat Kampung Tala yang dikatakan terbenam di bawah gunung ini.

Gunung Reng terletak di Kampung Gunong, Jeli, Kelantan, berhampiran Kampung Batu Melintang, 15 kilometer dari pekan Jeli. Satu kisah rakyat yang popular dikaitkan dengan gunung ini, di bawah tapak gunung ini pernah wujud sebuah perkampungan bernama Kampung Tala, kira-kira 1,400 tahun yang lalu.

Sumber: UtusanTV

Sewaktu singgah ke kawasan ini beberapa tahun dahulu, kami pernah menemubual Pak cik Husien yang merupakan penduduk asal Kampung Batu Melintang.

Pak cik Husien yang berusia hampir 70 tahun ketika itu turut menceritakan perkara yang sama bahawa tapak asal di bawah gunung itu dahulunya merupakan sebuah mukim yang dikenali sebagai Kampung Tala.

Dia menceritakan, perkampungan itu telah dibuka oleh seorang lelaki daripada keturunan Jawa, bernama Tok Tak Dok (juga dipanggil Tok Tadoh), yang kemudian berkembang dan dihuni lebih 100 orang penduduk.

PENDUDUK KERAP BERSABUNG HAIWAN

Penduduk kampung itu sering mengadakan majlis keraian termasuklah perkara-perkara yang menyalahi batas-batas kemanusiaan. Salah satunya ialah bersabung haiwan.

Pelbagai permainan dipersembahkan sewaktu majlis keraian berlangsung. Cuma ada satu permainan saja yang masih belum dilakukan iaitu sabung anjing dengan kucing.

Suatu ketika, kampung itu mengadakan temasya yang berlangsung selama tujuh hari tujuh malam dengan menjadikan acara melaga haiwan sebagai agenda utama.

SABUNG ANJING DAN KUCING KERANA INGINKAN KELAINAN

Disebabkan inginkan kelainan pada hari ketujuh temasya, ada penduduk menyarankan agar mereka mengadakan permainan sabung anjing dengan kucing buat pertama kali. Cadangan itu dipersetujui oleh penduduk kampung itu.

Kucing dan anjing dilepaskan, lalu kedua-duanya bertarung. Penduduk pula bersorak riang, seronok menyaksikan perlawanan yang julung kali diadakan itu. Ada yang mengatakan laga anjing dan kucing itu diadakan di atas sebuah bumbung rumah.

Tidak lama kemudian, cuaca yang cerah berubah menjadi hujan lebat disertai ribut taufan yang tiba-tiba membadai kawasan kampung itu.

Perubahan cuaca itu membuatkan seorang wanita tua bersama cucunya berlari pulang ke kampung mereka di Kampung Gantang, tidak jauh dari Kampung Tala untuk mengangkat padi di jemuran.

Setelah hujan reda dan ribut berhenti, wanita tua bersama cucunya itu kembali semula ke Kampung Tala. Sebaik tiba, mereka terkejut apabila mendapati perkampungan itu telah ‘lenyap’ diserkup dengan tindihan batu besar yang kini dikenali sebagai Gunung Reng.

Pak cik Husien menjelaskan, dia mendapat tahu kisah itu daripada waris kepada wanita tua dan cucunya itu yang sempat menceritakan tragedi yang berlaku pada masa lampau secara turun temurun.

Ketika awal kedatangan Pak cik Husien ke perkampungan itu, dia mendakwa batu besar itu sudah wujud dan sedia ada di sana. Bagaimanapun, suatu yang aneh pernah dilihatnya iaitu terdapat pucuk kelapa terjulur keluar daripada celah batu, manakala batang dan akarnya terpenyek di bawah tindihan gunung tersebut. Beberapa penduduk kampung seusia dengannya juga pernah melihat keadaan yang sama.

Daripada mana datangnya batu besar itu yang kini sudah menjadi Gunung Reng?

Pernah dahulu ada kisah tentang beberapa orang asli yang tinggal di sempadan negeri Perak – Kelantan mengatakan pernah melihat ‘bukit yang sedang terbang di langit’ diikuti bunyi kuat seperti petir. Dipercayai batu besar itu kemudian mendarat di Kampung Tala hingga melenyapkan mukim dan membunuh seluruh penduduknya.

Ada pula yang berpendapat, batu besar yang menghempap perkampungan itu telah dicabut dari kawasan pergunungan hulu Sungai Reng yang terletak di negeri Perak. Bersempena nama sungai inilah juga, maka ia dinamakan sebagai Gunung Reng.

Dikatakan terdapat kesan lekukan seperti kolam di Hulu Sungai Reng yang dipercayai tapak asal batu yang kini sudah menjadi Gunung Reng. Ramai mendakwa saiz dan bentuk lekukan itu mirip dengan struktur Gunung Reng.

ADA JUGA MENGATAKAN IANYA METEOR ATAUPUN OBJEK DARI ANGKASA LEPAS

Selain kisah itu, ada juga teori lain yang mengatakan batu besar itu berkemungkinan adalah meteor atau objek dari angkasa lepas yang jatuh menghempas perkampungan tersebut.

Hipotesis ini dikemukakan bersandarkan kepada penemuan lekukan seperti kawah di bahagian bawah dan sisi gunung itu. Bagaimanapun, tiada sebarang kajian pernah mengesahkan asal sebenar batu besar itu. Tiada bukti kukuh yang menyokong teori ini.

Pernah dahulu kami cuba mendapatkan pandangan daripada beberapa pengkaji sejarah dan arkeologi tentang kisah penempatan yang terbenam di bawah gunung ini, tetapi tiada siapa yang tahu mengenainya atau mampu merungkai kesahihannya. Tambahan pula tiada kajian khusus ke atas asal-usul gunung itu dan perkampungan yang dikatakan tenggelam di bawah batu besar tersebut.

Tidak dapat dipastikan apakah kampung yang terbenam itu benar-benar wujud satu ketika dahulu. Atau apakah benar kisah perkampungan itu yang dilenyapkan sebagai balasan kerana sikap mereka yang melagakan haiwan untuk hiburan?

Tiada bukti kukuh atau kajian sahih tentang kisah ini. Misteri berkaitan Gunung Reng ini boleh jadi hanya mitos dan sekadar kisah rakyat yang disampaikan turun temurun.

SUMBER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *