Hanya 10 peratus kanak-kanak di Kelantan divaksin

KOTA BHARU: Seramai 25,800 atau hanya 10 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun di Kelantan, menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids).

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata angka itu masih rendah berikutan masih ramai ibu bapa yang tidak mahu anak mereka menerima vaksin.

Beliau berkata, sikap ibu bapa itu sangat membimbangkan memandangkan sesi persekolahan sudah bermula dan ia boleh menyebabkan angka kes jangkitan COVID-19 di sekolah kembali meningkat.

“Kita berharap ibu bapa membawa anak mereka mengambil vaksin COVID-19 untuk melindungi kanak-kanak ini. Vaksin ini akan mengurangkan risiko jangkitan, terutama varian Omicron yang semakin menular di negara ini,” katanya.

Dr Zaini berkata, varian Omicron amat cepat merebak dan ia sangat membimbangkan jika ia menjangkiti kanak-kanak.

Beliau berkata, jangkitan kes harian COVID-19 di Kelantan semalam adalah sebanyak 518 kes dan 26 kluster masih aktif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *