Asal-usul nama Kelantan sebenarnya dari India? Ini ceritanya

Dalam negara Malaysia, negeri Kelantan merupakan salah sebuah negeri yang sangat unik dan sering menjadi topik perbincangan orang ramai. Hal ini adalah disebabkan terdapat kisah sejarah yang menarik yang pernah berlaku di dalam negeri tersebut. Tapi korang pernah tak terfikir dan nak tahu bagaimana sebenarnya asal-usul sejarah negeri Kelantan ini berlaku pada ketika dahulu?

Asal-usul nama Kelantan yang berasal daripada perkataan India

Untuk pengetahuan korang, ada beberapa pendapat dan cerita daripada masyarakat berkaitan dengan asal-usul pemberian nama “Kelantan” kepada negeri ini. Antara pendapat yang popular adalah nama asal Kelantan ini sebenarnya berasal daripada perkataan India iaitu “Kolaan Thana” atau “Kolaam Thana” yang bermaksud Tanah Kolam. Istilah ini merujuk kepada lukisan yang terdapat pada lantai atau gambar rajah dalam banyak kuil yang dibangunkan oleh Kaum Hindu pada zaman dahulu.

Selain itu, ada juga pendapat yang mengatakan bahawasanya perkataan “Kolaan Thana” ini berubah secara beransur-ansur dan kemudiannya menjadi “Kelantan” disebabkan oleh percampuran dalam pertuturan dialek dalam kalangan penduduk tempatan pada ketika itu.

Cik Siti Wan Kembang mendapat gelaran “Paduka Cik Siti” daripada pedagang Tanah Arab

Kalau korang nak tahu, sebenarnya terdapat beberapa peristiwa yang menarik yang terdapat dalam sejarah pentadbiran negeri Kelantan antaranya ialah pada tahun 1411M (814H), terdapat seorang Raja yang beragama Islam yang dikenali sebagai Raja Kumar telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan Maharaja China. Sebagai balasan daripada kerjasama tersebut, Raja Kumar telah menerima hadiah berupa kain sutera dan surat kepujian daripada maharaja China tersebut.

Setelah berlaku beberapa kali pertukaran pemerintah, Raja Gombak yang merupakan pemimpin negeri Kelantan pada ketika itu akhirnya mangkat. Maka dengan itu, cucu kepada baginda iaitu Raja Ahmad telah dijadikan sebagai putera angkat dan ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara D’Raja yang merupakan sepupu kepada Raja Hussein dan hasil daripada perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan seorang puteri yang diberi nama Cik Siti Wan Kembang.

Gambar yang dikatakan mirip Cik Siti Wan Kembang.

Semasa baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, puteri baginda Cik Siti Wan Kembang baru berusia 4 tahun dan disebabkan perkara tersebut Raja Hussein dari Johor telah pun dilantik sebagai Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Apabila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Siti Wan Kembang telah ditabal sebagai Raja Kelantan yang baharu. Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan ramai pedagang-pedagang dari dalam dan luar negera mengunjungi negeri Kelantan termasuklah orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Siti Wan kembang sebagai “Paduka Cik Siti”.

Zaman kegemilangan Islam di zaman pemerintahan Sultan Mansur pada awal abad ke-19

Sekitar abad ke-17 ataupun pada tahun 1650, kerajaan Kelantan telah mula menggunakan dan melaksanakan undang-undang berlandaskan keperluan Islam. Perlantikan mufti berstatus ulama pertama kali dilakukan secara rasmi ketika era Sultan Muhammad ke II semasa pertengahan abad ke-19. Zaman kegemilangan pentadbiran Islam di Kelantan dipercayai bermula pada awal abad Ke-19 iaitu semasa pentadbiran Sultan Mansur pada tahun 1891 sehingga 1900. Asas agama Islam yang telah bertapak seratus tahun lamanya diperkembangkan dengan pengenalan undang-undang menurut syariat agama. Pada zaman ini jugalah individu yang dilantik sebagai mufti mula direkodkan nama mereka.

Setelah itu, pengganti Sultan Mansur iaitu Sultan Muhammad Ke IV meneruskan perjuangannya dengan memperbanyakkan lagi pembinaan masjid dan pondok pengajian di seluruh kawasan jajahan Kelantan. Pada ketika ini jugalah kerajaan Kelantan menubuhkan sebuah badan penting untuk melindungi kedudukan Islam dalam masyarakat mereka iaitu Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Kerajaan Kelantan mula mengorak langkah memodenkan pentadbiran agama Islam apabila satu perjanjian telah diwujudkan diantara kerajaan Siam dengan penjajah pada tahun 1909.

Dalam melindungi kedudukan agama pada ketika itu dan hasil saranan daripada beberapa orang ulama khasnya Tok Kenali, kerajaan Kelantan telah menubuhkan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) sebagai usaha untuk mengelakkan campur tangan British dalam urusan berkaitan agama Islam. MAIK adalah merupakan institusi pertama di Malaysia yang dibangunkan khusus untuk menjadi institusi bercorakkan agama.

Untuk menikmati sebuah kejayaan, harus bersedia untuk menghadapi kegagalan terlebih dahulu

Korang rasa macam mana? Bukan mudah sebenarnya untuk negeri Kelantan mencapai tahap seperti yang ada pada hari ini. Banyak nyawa serta tenaga yang mereka telah pertaruhkan dan perjuangkan untuk mencapai kemerdekaan seperti hari ini. Dalam hidup ni, kita harus belajar untuk tidak mudah mengaku kalah dan sentiasa berjuang terhadap sesuatu yang kita cintai dan sentiasa percaya kepada proses bahawa segala kejayaan pasti akan ada kesulitan yang dilalui pada awalnya.

 

Sumber :
1.http://studentsrepo.um.edu.my/557/2/BABI.pdf

2.https://ejournal.um.edu.my/index.php/JAT/article/view/14125/9179

3.https://iluminasi.com/bm/kelantan-negeri-pertama-tanah-melayu-menerima-islam.html

4.https://dnkelantan.wordpress.com/sejarah/

5.https://pejsultan.kelantan.gov.my/index.php/mediasuk/sejarah-kesultanan-kelantan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *